
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan Rasulullah SAW telah memberikan amaran bahawa akan berlaku perkara buruk kepada umatnya, khususnya apabila mereka melantik pemimpin daripada kalangan penipu dan pembohong kerana kedua-dua golongan itu bersifat fasiq.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa kebenaran ungkapan Rasulullah SAW berkaitan kezaliman kini sedang disaksikan rakyat Malaysia apabila pihak yang dianggap lawan politik di dakwa di mahkamah secara terpilih.
Katanya perkara buruk seperti dikatakan Nabi Muhammad SAW akan berlaku kepada umatnya, khususnya apabila mereka melantik pemimpin daripada kalangan penipu dan pembohong kerana kedua-dua golongan itu bersifat fasiq.
Malah, Presiden PAS itu berpendapat untuk mencipta kesalahan terhadap lawan demi agenda politik, tindakan menggali secara habis-habisan terus dilakukan sebelum mengheret musuh politik secara tergesa-gesa dan terpilih.
Katanya berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah.
Beliau mengingatkan bahawa haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab.
Lebih malang lagi, katanya, apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan.
“Kemudiannya, mereka bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap kawan yang akrab atau penyokongnya, walaupun sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan mahkamah.
“Ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya, tiba-tiba kes tersebut dihentikan,” katanya dalam ‘Minda Presiden’ hari ini (18 Mac 2023).
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengingatkan Rasulullah SAW telah memberikan amaran bahawa akan berlaku perkara buruk kepada umatnya, khususnya apabila mereka melantik pemimpin daripada kalangan penipu dan pembohong kerana kedua-dua golongan itu bersifat fasiq.
Dinyatakan dalam hadis Baginda SAW yang bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda, “Manusia akan berdepan tahun-tahun yang menggoda atau menipu. Pembohong dianggap benar, manakala orang yang benar dianggap bohong. Pengkhianat diberikan amanah, manakala orang yang benar-benar amanah pula dikhianati. Ruwaibidhah (orang-orang yang bebal) bercakap.”
“Sahabat bertanya “Siapakah itu, al-Ruwaibidhah?”
“Orang-orang yang jahil agama bercakap berkenaan perkara besar (perkara menyentuh soal kepentingan umat).” (Riwayat Ibn Majah no. 4036, Ahmad no. 7912, dan lain-lain dengan perbezaan lafaz dan sanad; hadis berstatus hasan).”
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata manusia selain rasul dan nabi, termasuk semua pemimpin yang dilantik oleh manusia sendiri, bahkan para ulama’; mereka dikawal oleh sifat taqwa, kematangan akal, ilmu yang bermanfaat, atau penasihat yang baik dan benar, bukannya dikawal oleh wahyu.
“Kita sedang menyaksikan kebenaran ucapan Rasulullah SAW yang tidak boleh disamakan dengan ramalan manusia biasa.
“Bahkan, kita juga sedang mengalami akibat pelantikan para pemimpin yang bersifat dengan pelbagai sifat yang dilarang oleh Rasulullah SAW iaitu melakukan pembohongan yang berulangan, penipuan yang kerap kali berlaku, dan janji yang tidak ditunaikan.
“Ada kalangan yang dinamakan ‘Amanah’, tetapi tidak bersifat amanah yang sebenar. Mereka melantik orang fasiq yang nyata sifat fasiqnya seperti pelantikan yang dilakukan melalui rasuah, janji manis yang menggoda, dan pelbagai lagi godaan yang menarik nafsu cinta akan dunia dan lupa akan akhirat.
“Si zalim itu tetap boleh ditamatkan riwayatnya, walaupun dia adalah seorang yang paling kaya dan kuat bala tenteranya. Demikianlah Allah SWT menjadikan kuasa memerintah negara sebagai satu ujian kepada manusia dalam kehidupan di alam dunia,” katanya.