Umat Islam akan dibenar tunai umrah dalam masa terdekat

Umat Islam di negara ini dijangka dapat menunaikan umrah dalam masa terdekat selepas penelitian lebih terperinci kepada beberapa perkara sebelum pengumuman lanjut dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berharap orang ramai bersabar sementara menunggu kebenaran secara rasmi untuk menunaikan umrah.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih berbincang untuk membenarkan rakyat kita menunaikan umrah dan ibadat haji bermula tahun hadapan.

“Berkenaan kouta kebenaran ke Makkah, ianya masih bergantung kepada kerajaan Arab Saudi kerana mereka menetapkan syarat yang ketat ketika ini akibat Covid-19 dan rakyat kita perlu ikut peraturan di sana nanti,” jelasnya.

“Dengan pengurangan kes yang semakin rendah, marilah kita sama-sama berdoa agar kita dapat mengerjakan ibadat haji dan umrah seperti sedia kala dengan norma baharu,” kata Idris selepas Majlis Pelancaran Buku Haji anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Arab Saudi sebelum ini mengumumkan pembukaan semula Makkah kepada jemaah dari luar negara untuk menunaikan umrah bermula 10 Ogos lalu.

Jabatan Pentadbir Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sebelum ini mengumumkan kesediaan untuk menerima kedatangan 70,000 jemaah umrah sehari.

Melalui akaun Twitternya, Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram, Dr Saad Muhammad Al-Muhaimidi memberitahu pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi dengan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi memudahkan segala urusan jemaah.

Selain itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang untuk menambah jemaah umrah sehingga 120,000 sehari berbanding sebelum ini, 60,000 jemaah sehari sekarang ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR