UiTM rehatkan profesor perlekeh B40 hingga siasatan lengkap

Universiti Teknologi Mara (UiTM) merehatkan Profesor Dr Roshana Takim daripada tugasan pengajaran mulai hari ini (1 April 2022) sehingga siasatan lengkap dijalankan.

Jabatan Komunikasi UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah UiTM yang diadakan semalam, 31 Mac 2022

“Keputusan itu dibuat adalah bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara berkesan dan teratur,” kata UiTM.

Pada masa sama, UiTM juga memandang serius mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit secara sengaja atau tidak yang boleh menjejaskan imej dan nama baik serta menggugat keselamatan warga universiti.

Menurut kenyataan itu, UiTM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat pihak yang berkongsi hantaran yang mengelirukan.

“UiTM sentiasa cakna dan prihatin kepada kesejahteraan warga akademik dan juga pelajarnya. Dalam konteks ini, UiTM akan memperkasa peranan pensyarah dan menambah baik polisi serta etika pengajaran di semua peringkat pengajian.

“Penilaian dan pemantauan terhadap Profesionalisme Pensyarah yang dibuat secara rawak setiap semester juga boleh menjadi elemen tambahan dalam proses kenaikan pangkat serta pelanjutan kontrak perkhidmatan,” kata kenyataan itu.

Berita berkaitan: Beritahu aku gelang emas mana aku kena cari untuk gadai buat assignment? 

Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan itu.

Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian tersebut, turut tersebar.

Berikutan itu, UiTM membuat laporan polis selepas laporan kronologi yang disediakan universiti itu mengenai insiden pensyarah kontraknya yang dipercayai memperlekeh penuntut B40 tular di media sosial.

BERITA BERKAIT
POPULAR