
Kerajaan Johor kini sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan mengenai cadangan mengembalikan semula hari rehat kepada Sabtu dan Ahad.
Keputusan sama ada Johor akan kembali menjadikan Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat hujung minggu mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata ini kerana cadangan itu memerlukan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Bagaimanapun, kerajaan Johor kini sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan mengenai cadangan mengembalikan semula hari rehat itu.
“Di peringkat kerajaan negeri, masih belum ada keputusan berhubung perkara itu kerana kita masih meneliti dan mengumpul maklum balas daripada pihak berkaitan.
“Jadi, ia tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan media mengenai cadangan mengembalikan semula hari rehat hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad, serta kerja separuh hari pada Jumaat.
Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai menjelaskan, kajian menyeluruh juga perlu dilakukan terhadap cadangan itu.
“Keputusan sebegini juga berkaitan dengan titah baginda (Sultan Ibrahim). Jadi, sudah tentu, persetujuan baginda adalah yang paling penting,” katanya.
Kerajaan Johor sebelum ini telah menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari rehatnya sejak 1 Januari 2014, berikutan titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan hari keputeraan baginda ke-55 pada 23 November 2013.
Pada 14 Jun lalu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan menyemak semula hari rehatnya selepas mendengar maklum balas rakyat mengenai perbezaan antara kerajaan dan badan swasta.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Johor mungkin melaksanakan cuti hujung minggu rasmi dua setengah hari, dengan hari Jumaat sebagai kerja separuh hari, diikuti Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat hujung minggu, menurut beberapa sumber.
Sumber berkata cadangan hujung minggu dua setengah hari akan membolehkan umat Islam bersiap sedia untuk solat Jumaat.
“Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, kerajaan negeri akan menamatkan hari bekerja Jumaat pada tengah hari, dan penjawat awam tidak perlu kembali ke pejabat selepas solat Jumaat.
“Sabtu dan Ahad akan ditetapkan sebagai hari rehat rasmi dan permulaan minggu bekerja adalah pada Isnin berikutnya. Dari Isnin hingga Khamis, mungkin ada tambahan waktu bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang untuk menggantikan separuh hari Jumaat.
“Pada masa ini, waktu kerja rasmi adalah dari 8 pagi hingga 5 petang,” kata sumber itu.