Tunggu kuota haji dimuktamadkan baharu subsidi diputuskan: Idris

Kemudahan jumlah subsidi bagi menunaikan ibadah haji tahun ini akan diputuskan setelah jumlah kuota haji negara diketahui dan dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

“Apabila kita sudah dapat bilangan kuota (haji) sebenar, insya-Allah kita akan duduk (berbincang) untuk muktamadkan jumlah subsidi yang diberikan,” katanya lapor Bernama.

Idris ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Infaq Kasih Ramadan Kawasan Kapar hari ini.

Jumaat lepas, Idris memaklumkan kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan.

Sementara itu, mengulas mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Idris berkata titah itu sudah jelas.

Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI bertitah bahawa sebarang kenyataan berhubung keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

BERITA BERKAIT
POPULAR