
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Gangguan terhadap badan kehakiman tahun lalu amat dikesali Tun Tengku Maimun Tuan Mat dengan menyifatkannya ia satu penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang negara.
Ketua Hakim Negara itu mendedahkan pada tahun lalu terdapat gangguan terhadap institusi perundangan negara tetapi tidak menamakan individu dimaksudkannya, namun umum mengetahui perbicaraan utama melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berlangsung ketika itu diketuai Tun Maimun sendiri.
“Tahun lalu, cubaan untuk menakut-nakutkan atau sebaliknya memberikan tekanan yang tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes kepentingan awam semakin ketara.
“Percubaan ini adalah penghinaan langsung terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman. Mereka sememangnya patut dikutuk dan sememangnya ramai yang dengan tegasnya bersuara menentang mereka.
“Adalah tidak wajar (mischievous) bagi sesiapa yang cuba memburukkan imej Mahkamah dan mencemarkannya melalui kritikan yang tidak adil, berat sebelah dan sering kali tidak disedari hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Dalam pada itu, Tun Maimun menyifatkan tindakan Najib memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula tidak menjejaskan badan kehakiman.
Katanya, Mahkamah Persekutuan selesai menjalankan tanggungjawab apabila mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Tun Maimun, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.