Tun M masih dirawat di IJN

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjalani beberapa pemeriksaan dan prosedur kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan IJN hari ini, pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas Dr Mahathir dijangka selesai dalam masa beberapa hari lagi.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Langkawi perlu terus berada di IJN sehingga semua pemeriksaan berkenaan selesai.

“Bagi mematuhi SOP semasa, tiada pelawat dibenarkan melawat beliau,” menurut kenyataan IJN tanpa memaklumkan tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau dimasukkan ke IJN pada 7 petang semalam bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dr Mahathir, 96, mempunyai sejarah penyakit jantung. Beliau telah mengalami tiga serangan jantung, satu pada 1989 dan dua lagi pada tahun 2006.

Beliau juga telah menjalani empat kali pembedahan pintasan dan secara berkala telah dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan.

BERITA BERKAIT
POPULAR