Tun M kata Zahid beritahu kerisauan kes jenayah dihadapi di mahkamah

May 17, 2022 · Isu semasa

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menyuarakan kerisauannya berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu di mahkamah ketika mereka mengadakan beberapa pertemuan.

Dr Mahathir, 96, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan hari ini menerusi Tetuan Haidir & Co berkata, pertemuan sebanyak lima kali itu antara 7 Jun 2018 dan 25 Feb 2020 berlaku di beberapa lokasi iaitu kediamannya di Mines Resort City, Seri Kembangan, Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

“Sepanjang tempoh Ahmad Zahid berjumpa dengan saya, plaintif (Zahid) sememangnya telah menyuarakan kepada saya berkenaan kes-kes jenayah yang sedang dihadapinya.

“Memandangkan saya ketika itu (sepanjang 2018 dan 2020) masih memegang kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Perdana Menteri Interim, Ahmad Zahid sememangnya telah mengambil peluang untuk berbaik-baik dengan saya memandangkan pada ketika itu kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid mampu membahayakan kerjaya politiknya.

“Maka, semestinya itu yang menjadi kerisauan plaintif pada ketika itu dan ia disuarakan kepada saya,” kata Dr Mahathir dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab saman difailkan Ahmad Zahid terhadapnya.

Memetik Bernama Dr Mahathir berkata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah mendedahkan melalui akaun Facebooknya bahawa plaintif sendiri telah memintanya (Khairuddin) untuk mengaturkan pertemuan dengan bekas perdana menteri itu.

“Saya mengatakan mana-mana individu yang waras akal fikiran dan mempunyai kemampuan intelek untuk berfikir secara munasabahnya dapat melihat bahawa Ahmad Zahid seorang ahli politik yang sedang menghadapi masalah kes-kes jenayah telah pergi berjumpa dengan saya, yang ketika itu memegang jawatan berautoriti, semestinya bertujuan membuat percubaan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah dihadapinya,” kata Dr Mahathir.

Menurutnya adalah logik untuk diperkatakan bahawa Zahid telah datang dan bertemu dengannya selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan Zahid mempunyai perancangan untuk cuba membersihkan semula nama baiknya yang telah lama tercemar kerana kes jenayah berkenaan.

“Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap Ahmad Zahid dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau pengaruh di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid,” kata Dr Mahathir.

Dalam saman yang difailkan pada 20 April lepas, Zahid, 69, berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Zahid mendakwa Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Feb 2022.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Sementara itu, Zahid turut memfailkan permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial.

Permohonan injunksi interim itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada 17 Jun ini.

Berita berkaitan
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Tuntut cerai: Mahkamah perintah Khir Toyo, isteri lantik Hakam Islah
June 27, 2022
Kemiskinan berleluasa, ketidakstabilan ekonomi akibat rasuah
February 8, 2023
Polis cari dua wanita video gurauan tarik tudung dipakai muslimah
July 6, 2022
Hina Islam: Penghantar makanan masuk penjara, gagal bayar denda RM50,000
July 21, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok