Tular staf pukul orang awam, Prasarana jalankan siasatan

Prasarana menjalankan siasatan serta-merta dan terperinci berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam syarikat itu bertindak memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka, hari ini.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan pihaknya belum mengenal pasti tarikh, masa dan lokasi kejadian terbabit, lapor Bernama.

“(Prasarana) memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai dalam video berkenaan.

“Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Justeru Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai maklumat supaya menghubungi talian 03-7885 2585 atau emel ke [email protected]

Prasarana menegaskan tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja syarikat pengangkutan awam itu.

“Dalam apa jua situasi, sekiranya memerlukan bantuan lanjut, ia sepatutnya dipanjangkan kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Prasarana juga memohon maaf atas kejadian itu dan memberi jaminan tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang di masa hadapan.

Hari ini, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai staf Prasarana bertindak memukul seorang lelaki, dipercayai warga asing, dalam sebuah kedai serbaneka.

BERITA BERKAIT
POPULAR