Tukar Ketua Hakim Negara, AG bukan macam tukar ketua kampung

August 31, 2022 · Isu semasa

Semua pihak diingatkan bahawa menukar Ketua Hakim Negara atau Peguam Negara (AG) tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata seorang pakar Perlembagaan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata perlantikan dan perlucutan jawatan Ketua Hakim Negara dan AG adalah perkara besar yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya Perkara 122B (1) memperuntukkan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Pelantikan itu adalah atas nasihat Perdana Menteri (PM), selepas PM berunding dengan Majlis Raja-raja. Ketua Hakim Negara lazimnya dipilih dalam kalangan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, katanya.

Nik Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan & Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara berkata persoalan sama ada Agong terikat dengan nasihat PM adalah bersifat akademik berdasarkan peruntukan Perkara 122B(1).

“Mahkamah Rayuan dalam kes In the matter of oral application by Datuk Seri Anwar Ibrahim (2000) memutuskan bahawa YDPA mesti bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dalam lantikan hakim-hakim mahkamah tertinggi.

“Seterusnya, adakah Perdana Menteri terikat dengan pandangan Majlis Raja-raja? Perkataan “berunding” dalam Perkara 122B (1) secara literal menunjukkan ia tidak mempunyai kesan mandatori.

“Walaupun pandangan Majlis Raja-raja nampaknya tidak mengikat Perdana Menteri, “perundingan” itu perlu dilakukan. Ada pendapat mengatakan realiti politik dan setakat mana pengaruh seorang Perdana Menteri terhadap Majlis tersebut,” katanya menulis dalam Utusan hari ini.

Nik Ahmad Kamal berkata urusan pemecatan hakim-hakim mahkamah tertinggi pula diperuntukkan di bawah Perkara 125 (3), (3B) dan (4) atas alasan-alasan yang dinyatakan.

“Alasan-alasan tersebut ialah melanggar kod etika kehakiman, tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal “atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya” – Perkara 125 (3).

“Prosesnya termasuk YDPA melantik suatu tribunal yang akan membuat representasi kepada Seri Paduka dengan mengesyorkan YDPA memecat seorang hakim daripada jawatannya,” tulisnya lagi.

Beliau berkata oleh kerana kuasa besar kerajaan semasa dalam perlantikan dan pemecatan AG, amat mengecewakan jika desakan pemecatan beliau dibuat bukan atas alasan salah laku, salah guna kuasa atau tidak kompeten.

“Tegasnya, menukar Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia tidak semudah menukar ketua kampung atau pengerusi masjid dan surau, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Baru-baru ini, UMNO dilihat menyerang badan kehakiman, termasuk menggesa Ketua Hakim Negara dan AG dipecat.

Serangan itu dibuat susulan keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Pada 23 Ogos lalu, Najib menjadi bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang merengkuk di Penjara Kajang setelah didapati bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Empat hari setelah keputusan itu, UMNO memanggil ribuan ahlinya berkumpul di Pusat Dagangan Dunia bagi mendengar Taklimat Khas Presiden, yang turut menampilkan ucapan beberapa pihak, termasuk anak-anak Najib serta peguamnya, selain ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ucapan Zahid pada taklimat itu kini disiasat oleh Bukit Aman.

Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam ucapan pada taklimat itu mengkritik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan AG.

Antara lain Azalina berkata di bahagian lain dunia, seorang perdana menteri akan melantik “orangnya sendiri” untuk menjadi AG.

Azalina, yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang, turut mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding selepas menukar pasukan peguam bagi mewakilinya.

“Kenapa kita tak boleh tukar peguam? Kalau dia bersalah, walaupun dia tukar peguam 10 kali, dia tetap bersalah.

“Jadi apa yang boleh kita lakukan sekarang? Kita mesti berjuang. Jika anda cukup berani, mari kita lawan hari ini,” katanya kepada ahli UMNO yang membalas dengan sorakan dan tepukan kuat.

Berita berkaitan
RM4 juta masuk akaun Najib dari syarikat berkait Jho Low: Saksi
3 jam lalu· Isu semasa
Khairy tak rasa bekas Peguam Negara akan beri penjelasan kes Zahid dihentikan
5 jam lalu· Politik
KJ ungkit kenyataan Azalina ‘peguam negara orang PM’, sindir kes rasuah Zahid
18 jam lalu· Politik
Rayuan difailkan berhubung pembebasan kes rasuah Bung Moktar dan isteri
September 19, 2023· Isu semasa
Popular
Ribuan peniaga diramal gulung tikar ekoran kenaikan harga bahan mentah: Laporan
September 20, 2023
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
September 21, 2023
Kemalangan treler: Pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang dikenal pasti maut
September 20, 2023
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana meliwat
September 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
3 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan treler Putrajaya: Pemandu direman empat hari
3 jam lalu · Isu semasa
Penagih dadah meningkat 27 peratus, kata AADK
6 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan treler: Pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang dikenal pasti maut
19 jam lalu · Isu semasa
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana meliwat
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Susah senang bersama, PN tidak akan khianat pengundi sertai kerajaan PH-BN
2 jam lalu
[VIDEO] Rakyat beratur beli beras Rahmah macam negara kita miskin
5 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok