Tujuh negeri catat jangkitan harian lebih 1,000, Selangor cecah 3,031 kes

Tiga belas negeri dan Wilayah Persekutuan hari ini merekodkan peningkatan jangkitan harian Covid-19, dengan tujuh daripadanya mencatat jumlah melebihi 1,000 kes.

Dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi, Selangor, Sabah, Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur merekodkan lonjakan jangkitan, manakala kes di enam negeri lagi juga naik, namun kekal mencatat tiga angka.

Hanya Perak, Melaka dan Terengganu mencatat penurunan kes baharu hari ini, berbanding semalam.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, Selangor merekodkan lonjakan daripada 2,411 kes semalam kepada 3,031 kes hari ini, menjadikan kumulatif positif di negeri itu kini mencecah 832,428 kes.

Bagaimanapun, sehingga semalam seramai 799,645 pesakit Covid-19 di Selangor telah sembuh, dan 19,686 kes masih aktif. Negeri itu juga merekodkan jumlah kematian terkumpul sejak awal 2020 lalu sebanyak 10,066 kes, tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 18,415 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 372 ditempatkan di PKRC; 878 dimasukkan ke hospital; dan 21 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 13 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 4,287,743 individu dewasa di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 4,336,334 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,169,043 atau 76.8 peratus menerima dos penggalak.

Sabah pula mencatat 2,069 kes baharu berbanding 1,600 semalam, diikuti Johor (1,680 kes baharu, 1,369 semalam); Kedah (1,463 kes baharu, 1,448 semalam); Kelantan (1,105 kes baharu, 666 semalam); Pulau Pinang (1,023 kes baharu, 693 semalam); dan Kuala Lumpur (1,022 kes baharu, 380 semalam).

Pahang pula mencatat 696 kes baharu berbanding 581 semalam, Negeri Sembilan (394 kes baharu, 368 semalam); Putrajaya (141 kes baharu, 105 semalam); Perlis (133 kes baharu, 98 semalam); Sarawak (129 kes baharu, 84 semalam); dan Labuan (29 kes baharu, 11 semalam).

Sejak wabak Covid-19 mula melanda negara awal 2020 lalu hingga hari ini negara mencatat 2,939,198 kumulatif kes positif, dengan 96.1 peratus daripadanya atau 2,824,071 pesakit telah pulih.

Lebih 64.1 juta dos vaksin telah diberikan sejak 24 Februari 2021 hingga semalam, dengan 25,723,208 atau 78.8 peratus individu berusia 12 tahun dan ke atas telah lengkap divaksinasi, manakala 26,117,440 atau 80.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara 12,473,139 atau 53.3 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR