Tujuh kluster baharu di enam negeri

Tujuh kluster baharu Covid-19 dikesan di enam negeri dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan penularan dalam kalangan institusi berkaitan pendidikan merekodkan empat kluster.

Dua lagi adalah kluster tempat kerja dan satu kumpulan berisiko tinggi yang dilaporkan di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang membabitkan 19 individu daripada 20 yang disaring.

Dua kluster berkaitan pendidikan dilaporkan di Pulai Chondong 2, Machang, Kelantan dengan tujuh individu daripada 69 saringan, dan Jalan Tanjong Mas di Kota Bharu membabitkan 25 individu daripada 33 saringan.

Dua lagi kluster berkaitan pendidikan dikesan di Jalan Kempas Lapan, Kulai, Johor melibatkan tujuh individu daripada 58 saringan, dan di Cheras, Kuala Lumpur membabitkan 18 daripada 30 individu yang disaring.

Dua kluster tempat kerja dilaporkan di Klang dan Kuala Langat, Selangor membabitkan 70 individu daripada 927 yang disaring, serta di Bera, Pahang melibatkan 51 individu daripada 71 yang disaring.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan 5,068 pesakit disahkan sembuh dalam tempoh itu menjadikan kumulatif 2,430,122 kes pulih atau 96.34 peratus daripada 2,522,498 kes kumulatif positif.

Menurutnya daripada 6,243 kes positif hari ini, 24 melibatkan kes import, termasuk enam warga asing, manakala 6,219 adalah kes tempatan yang turut membabitkan 338 rakyat asing.

“Daripada jumlah kes hari ini juga, 106 atau 1.7 peratus melibatkan pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala selebihnya atau 98.3 peratus adalah pesakit kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR