Tuduhan petugas biar pesakit mati atas lantai hospital tidak benar

Jabatan Kesihatan Kedah menafikan dakwaan dalam video yang tular menuduh kakitangan perubatan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, membiarkan seorang pesakit yang jatuh dari katil dan meninggal dunia.

Pengarahnya Dr Othman Warijo berkata siasatan segera dilakukan setelah video itu tular di media sosial pada Isnin mengenai seorang pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia dalam wad dan didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital.

Katanya pesakit adalah seorang warga emas yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan pada 26 Ogos 2021 setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Daerah Kuala Muda.

“Beliau mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat Covid-19 Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen. Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi.

“Beliau bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan. Pesakit dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Othman berkata pada hari kejadian setelah rondaan pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan PPE kira-kira jam 1.45 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya kira-kira jam 2.25 petang petugas wad dimaklumkan oleh pesakit lain bahawa seorang pesakit jatuh dari katil.

“Pegawai perubatan bertugas bergegas memakai semula PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang terbaring di lantai wad. Pemakaian PPE mengambil masa kira-kira 5 minit.

“Ketika itu pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup. Pesakit dinaikkan semula ke atas katil dan disahkan meninggal dunia,” katanya sambil menambah keluarga pesakit telah dimaklumkan mengenainya dan menerima dengan baik.

Dr Othman berkata pihaknya kesal dengan penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

BERITA BERKAIT
POPULAR