Trend penularan Covid-19 turun, negara menuju fasa endemik

Situasi penularan Covid-19 yang semakin pulih beberapa minggu kebelakangan ini membuktikan kesediaan negara serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi trend penurunan bagi purata kes harian, jumlah kluster dan kapasiti penggunaan hospital manakala peratusan kadar vaksinasi yang tinggi.

Menurut Dr Noor Hisham secara keseluruhan indikator utama termasuk kes harian, kes aktif, kematian, kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta nilai kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) mencatatkan penurunan secara konsisten sejak minggu epidemiologi (ME) ke-34 (22 hingga 28 Ogos 2021).

“Terdapat sebanyak 63,722 kes Covid-19 yang dilaporkan pada ME ke-40 (3 hingga 9 Okt) berbanding 83,368 kes yang dilaporkan pada ME ke-39 iaitu penurunan sebanyak 23.6 peratus.

“Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39,” katanya dalam laporan Bernama.

Selain penurunan nilai Rt sebanyak 0.2 peratus setiap hari, Noor Hisham berkata kes kematian merekodkan 700 kes dengan purata 100 kes sehari pada ME ke-40, iaitu penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39.

Katanya lagi sebanyak 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU direkodkan pada ME ke-40 menyaksikan penurunan sembilan peratus berbanding ME ke-39 manakala 331 kes memerlukan bantuan pernafasan pada ME ke-40 juga menurun 11.2 peratus berbanding ME ke-39.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 79 kluster dilaporkan pada ME ke-40 dan daripada jumlah itu, terdapat penurunan 21 kluster berbanding ME ke-39, iaitu penurunan sebanyak 21 peratus.

Mengenai kapasiti penggunaan hospital, Noor Hisham memaklumkan KKM memperuntuk 16,199 katil wad biasa dan 1,514 katil wad ICU dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,164 katil digunakan sepanjang ME ke-40 menurun lima peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Selaras dengan perkembangan positif ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

Tambahnya berkata melalui inisiatif ‘reopening safely’, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan penilaian kendiri TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform and seek’ atau ‘ujian, lapor, kuarantin atau pengasingan kendiri, memaklumkan dan dapatkan rawatan segera’ terutamanya apabila sempadan negeri dibuka semula hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR