
Mereka yang mengalami masalah trauma sering berasa takut. _Gambar hiasan
Kecelaruan Stres Pascatrauma atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) merupakan kecelaruan yang terjadi kepada seseorang setelah mengalami kejadian yang menakutkan, mengejutkan atau membahayakan.
Bagi orang yang normal, perasaan takut atau stres setelah melalui situasi traumatik akan hilang dengan sendirinya. Namun, bagi mereka yang mengalami PTSD ini, mereka akan berterusan berasa takut atau stres walaupun mereka tidak berada dalam keadaan bahaya.
PTSD ini banyak terjadi kepada golongan yang mengalami atau menjadi saksi kepada kejadian-kejadian yang dahsyat seperti bencana alam, kemalangan yang teruk, peperangan, kekejaman, penderaan seksual, dirogol atau kecederaan yang teruk.
Menurut Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali, mereka yang mengalami PTSD akan menunjukkan simptom pengelakan iaitu mengelakkan pemikiran, perasaan, perbualan, tempat dan juga berkaitan dengan peristiwa trauma dan mereka sukar untuk mengingat kembali peristiwa penting yang dialami.
“Mereka juga mengalami bangkitan hiper iaitu gangguan emosi sehingga mereka tidak dapat mengawal dorongan, mudah marah, selalu merasakan diri dalam bermasalah sehingga menghadapi masalah tidur.
“Keadaan lebih sukar apabila ia akan menyebabkan seseorang itu tidak berdaya tindak dengan baik serta berfungsi untuk menguruskan diri sehingga mengganggu hubungan dan proses sosialisasi dengan masyarakat dan seterusnya mereka tidak dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, sekiranya seseorang yang mengalami masalah ini tidak mendapat rawatan sewajarnya, ia akan mengganggu fungsi aktiviti hariannya.
“Mereka akan mengalami kesukaran untuk mengurus diri sehingga boleh menyebabkan individu itu mengalami masalah dengan individu yang terdekat seperti suami isteri, adik beradik, ibu bapa seterusnya merebak kepada ketidakfungsian dengan sosialisasi.
“Malah mereka juga akan berada dalam keadaan kemurungan dan kebimbangan yang ekstrem sehingga boleh menyebabkan mengalami psikosis dan berisiko tinggi untuk terbabit dalam aktiviti memusnahkan diri dan juga masyarakat yang terdekat dengan mereka,” katanya.
Justeru itu, beliau menyarankan seseorang yang terdedah kepada peristiwa trauma seharusnya mendapatkan rawatan daripada pakar-pakar psikiatri dan psikologis dengan kadar segera.
“Kaedah rawatan yang bersesuaian adalah melalui farmakologi (ubat-ubatan) ataupun alterasi tingkah laku seperti Terapi Kognitif Tingkah Laku iaitu membetulkan pemikiran melalui penekanan psikoedukasi untuk membentuk tingkah laku yang positif.
“Rawatan melalui relaksasi juga dapat membantu untuk mententeramkan emosi yang kacau-bilau. Seseorang yang mengalami masalah ini perlu mendapatkan rawatan dari ahli psikologi yang menjurus kepada rawatan trauma ataupun ahli psikologi klinikal.
Bagi mengurangkan masalah ini dari menjadi bertambah serius, beliau menyarankan seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat, sentiasa mempunyai pemikiran yang positif, mengetahui cara relaksasi diri serta sentiasa sayangi diri sendiri.
“Melakukan hobi, dekat dengan agama juga boleh mengurangkan risiko berlakunya perkembangan trauma. Kekebalan diri dengan aura positif dan kasih sayang dapat merembeskan hormon-hormon positif seperti depomin, oksitoksi, serotonin and endorfin yang akan menjadi pendinding kepada penularan simptom negatif yang lahir disebabkan peristiwa trauma,” katanya.
Terdapat beberapa jenis trauma, termasuk:
- Trauma akut: Ia disebabkan oleh tekanan atau peristiwa yang dianggap berbahaya
- Trauma kronik: Disebabkan oleh pendedahan berulang dan berpanjangan terhadap peristiwa yang sangat tertekan. Contohnya, kes penderaan kanak-kanak, buli, atau keganasan rumah tangga
- Trauma kompleks: Ia disebabkan oleh pendedahan kepada pelbagai peristiwa traumatik
- Trauma sekunder: Ia adalah satu bentuk trauma yang lain. Seseorang boleh mengalami gejala trauma daripada hubungan rapat dengan individu yang pernah ada pengalaman traumatik