Transformasi Parlimen perlu dibuat untuk kawal sikap kurang ajar MP

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim melahirkan kekecewaan terhadap sikap sesetengah Ahli Parlimen (MP) yang amat keterlaluan, ganas dan kasar ketika berbahas sehingga memalukan institusi Dewan Rakyat itu sendiri.

Veteran politik tanah air itu yang mula menjadi MP pada 1974 sehingga 2013, menyifatkan keadaan itu berlaku kerana Parlimen tidak bebas dan tidak boleh bertindak, termasuk dalam soal mengawal disiplin wakil rakyat ketika mereka berbahas.

“Waktu ini nama sahaja pengasingan kuasa daripada cabang eksekutif dan kehakiman, walhal perjalanan Parlimen pun masih kena ikut arahan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan,” katanya yang yakin jika Parlimen bebas, perangai MP yang ada ketika ini dan dianggapnya jelik, ganas dan kasar, akan bertambah baik.

Malah katanya, jika Parlimen bebas maka tindakan tegas boleh dikenakan terhadap MP yang kurang ajar, mencarut dan berbahasa tidak sopan untuk memelihara martabat kemuliaan tinggi Parlimen.

Sehubungan itu, Rais sekali lagi menyarankan agar institusi Parlimen dapat ditransformasikan, khususnya melakukan pindaan terhadap Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 yang wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“Secara peribadi, saya berasa sangat aib apabila Parlimen tidak bebas malah sebagai badan legislatif, isu perjawatan dan peruntukan kewangan pun dikawal oleh pihak luar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Kelmarin, beliau ditemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi membincangkan isu tersebut secara teliti. Perbincangan itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Nor Yahati Awang sebagai persiapan sebelum persidangan bermula 13 September ini.

Hasil daripada pertemuan itu, mereka bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Khas Bersama untuk mengusahakan transformasi Parlimen yang lebih bebas.

“Ketika ini isu melibatkan petugas Parlimen masih di bawah pengurusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) manakala dari segi kewangan, urusan ini dikawal Perbendaharaan,” katanya.

Justeru, katanya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 wajar dipinda terlebih dahulu bagi memberikan autonomi penuh kepada institusi berkenaan untuk dapat beroperasi tanpa terikat lagi termasuk pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan staf selain belanjawan Parlimen boleh diputuskan berdikari, sekali gus menggambarkan institusi itu benar-benar berasingan.

Pada masa sama, Rais berkata cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen juga akan diperincikan dalam sudut Perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

“Saya bagi pihak (JKMR) akan mendalami cadangan ini dan sampaikan kepada kerajaan dalam bentuk nasihat yang jelas dari sudut perlembagaan Malaysia, sudut amali integriti dan sudut bagaimana ia akan tingkatkan pencapaian tangani rasuah di tanah air,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR