Trak bergerak vaksinasi akan diperkenalkan, percepat proses suntikan

Orang ramai menunggu giliran untuk mengambil vaksin Covid-19.– Gambar Agenda Daily, 15 Mei, 2021.

Kerajaan akan mengambil langkah untuk menggunakan trak bergerak bagi memberi suntikan di kawasan terpilih sekitar Kuala Lumpur yang menjadi punca penularan wabak Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata perbincangan sudah dijalankan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung pendekatan baharu tersebut bertujuan untuk mempercepatkan proses pengambilan vaksin di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengenai penggunaan mobile truck (trak bergerak) vaksinasi ke kawasan-kawasan tertentu di Wilayah Persekutuan yang menjadi kawasan penularan wabak Covid-19.

“Kita akan mula satu program pilot project untuk trak bergerak ini kita di Kuala Lumpur di kawasan PPR (projek perumahan rakyat) dan kawasan tapak pembinaan yang beroperasi semasa PKP,” katanya semasa sidang media khas hari ini.

Setakat 30 Mei, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah pendaftaran vaksin sebanyak 1,013,678.

Sebanyak 311,150 orang sudah mendapat dos pertama dan 94,399 orang sudah menerima dos kedua di Kuala Lumpur setakat 30 Mei.

Langkah menggunakan trak bergerak ini adalah projek percubaan pertama memandangkan kepadatan penduduk yang ramai di kawasan-kawasan bandar di Kuala Lumpur yang memerlukan satu tindakan yang pantas untuk membendung penularan virus membunuh itu.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin juga berkata negara akan menerima bekalan tambahan vaksin Pfizer pada 2 Jun ini sebanyak 222,300 disusuli 3 Jun sebanyak 191,880 dan pada 4 Jun sebanyak
30,420 dos.

Ini akan menjadikan jumlah dos vaksin daripada Pfizer yang telah dan akan dihantar adalah 3,196,440 setakat ini.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup mukaJune 9, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021