Total Lockdown: Semua kilang ditutup kecuali 12 sektor kritikal

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Semua sektor perkilangan akan ditutup sepanjang ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan bahawa kerajaan akan mengenakan tindakan tegas sekiranya pihak kilang melanggar arahan berkenaan.

Bagaimanapun tegasnya, kerajaan membenarkan 12 sektor perkilangan kritikal namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Semua sektor perkilangan ditutup kecuali, aeroangkasa, perkilangan makanan dan minuman, bahan pembungkusan dan pencetakan barang-barang, bahagian pencuci dan penjagaan diri, sektor kesihatan dan perubatan, sementara 60 peratus pekerja sahaja yang dibenarkan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Dengan pelaksanaan PKP yang diumumkan ini, semua aktiviti ekonomi dan sosial adalah tidak dibenarkan kecuali bagi 17 senarai perkhidmatan perlu seperti berikut:

1. Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
2. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar
3. Air
4. Tenaga
5. Keselamatan (security and safety), pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
6. Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan
7. Pengangkutan melalui darat, air atau udara
8. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman, dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
9. Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja)
10. Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal
11. Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-Rahnu)
12. E-dagang dan teknologi maklumat
13. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir
14. Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan)
15. Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
16. Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar
17. Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu

Menurutnya lagi, kebenaran beroperasi juga diberikan bagi pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi seperti:

1. Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya (contohnya kedai yang menjual baja dan racun/kilang memproses buah sawit adalah dibenarkan untuk beroperasi)
2. Perladangan dan komoditi serta rantaiannya (kelapa sawit, getah, lada dan koko)

Bagi operasi dalam kerja pembinaan, kerajaan memberi kebenaran seperti:

1. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
2. Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama
3. Kerja kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ). Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah secara optima.

Untuk aktiviti perniagaan perdagangan pengedaran, kerajaan membuat ketetapan seperti dibawah:

1. Kompleks membeli-belah ditutup kecuali hanya premis, pasar raya, pasar raya besar dan departmental store yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan restoran untuk bawa pulang dan penghantaran ke rumah.
2. Pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan kedai runcit serta departmental store dibuka TERHAD kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja,
3. Restoran, gerai-gerai serta outlet makanan
4. Dobi (termasuk layan diri)
5. Kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan
6. Kedai cermin mata dan barang optik

Ismail Sabri berkata semua sektor perniagaan ini dibenarkan beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja.

Secara amnya, semua sektor ekonomi yang berkaitan dengan perkhidmatan perlu boleh beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam kecuali;

1. Pasar harian : 6.00 pagi hingga 2.00 petang
2. Pasar Segar Terkawal (PST) : 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.
3. Pasar Tani Kekal (PTK), MyFarm Outlet (MFO) dan Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) : 6.00 pagi hingga 4.00 petang.
4. Pasar borong : 12.01 pagi sehingga 6.00 pagi dan 11.00 pagi sehingga 4.00 petang
5. Stesen minyak : 6.00 pagi hingga 8.00 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya boleh beroperasi sehingga 24 jam

Berhubung isu majikan swasta yang memaksa pekerja walaupun kerajaan sudah membuat keputusan hanya 60 peratus dibenarkan bekerja, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memantau perkara tersebut dan menggesa pekerja membuat aduan supaya siasatan boleh dijalankan.

“Saya juga mendapat laporan dalam media sosial di mana pekerja swasta dipaksa oleh majikan untuk bekerja walaupun Kerajaan telah membuat keputusan hanya 60 peratus dibenarkan bekerja.

“Selepas ini pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan penguatkuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan.

“Tindakan paling tegas perlu diambil kepada majikan yang degil. Saya juga berharap pekerja melapor segera sekiranya majikan mereka melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya lagi.

POPULAR