
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa, melancarkan Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 di Petaling Jaya, semalam, 30 Jun 2022.
Toleransi atau berlapang dada, mampu menjadi alat menyatupadukan umat Islam serta dunia, dan seharusnya diterap dalam kalangan negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya majmuk, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya konsep toleransi dan berlapang dada yang mengutamakan nilai kebersamaan, juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.
“Konsep ini yang turut bermakna bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi, telah ditekankan oleh kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya dalam ucapan semasa perasmian Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 di Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India, yang disifatkannya sebagai tindakan provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.
Ismail Sabri berkata insiden itu mendapat bantahan bukan sahaja daripada umat Islam di India, tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.
Tegas Perdana Menteri, tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam bertindak balas, namun ia perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama.
“Ini adalah untuk mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama,” katanya.
Perdana Menteri turut mengecam kezaliman rejim Zionis Israel yang berterusan menindas dan membunuh rakyat Palestin dengan kejam, tanpa adanya sebarang usaha menghalang dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Menurut Ismail Sabri ketika lawatannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini, beliau telah membangkitkan isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dan meminta kezaliman itu dihentikan melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, Ismail Sabri berkata konsep Keluarga Malaysia mampu disempurnakan oleh para ulama dan Ilmuwan Islam, dengan memberi pendekatan erti kata kesatuan berlandaskan Islam.
“Kerajaan sedar ulama dan Ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus, siratulmustakim.
“Justeru kita sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta Ilmuwan Islam, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sepertimana dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat). – Bernama