Tol percuma, diskaun 50 peratus mulai Sabtu hingga 1 Mei: Ismail Sabri

Kerajaan bersetuju memberi tol percuma serta diskaun hingga 50 peratus kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam pada 1 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata persetujuan yang dicapai selepas rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta.

Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Ismail Sabri berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

“Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lLebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam pada 30 April ini sehingga jam 11:59 malam pada 1 Mei depan, kepada semua kelas kenderaan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan, hari ini.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ismail Sabri berkata pemberian tol percuma di PLUS dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurutnya, ia akan mula berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam, 7 Mei depan hingga jam 11:59 malam keesokan harinya untuk semua kelas kenderaan.

“Sementara itu, tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.

“Diharapkan dengan pemberian tol percuma dan diskaun tol sempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri bersama-sama orang tersayang.

“Keputusan kerajaan ini juga mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini dan bagi mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba ini. Pandulah dengan cermat dan sentiasa berhati-hati di jalan raya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR