Tol empat lebuh raya Lembah Klang tak naik, kata Ismail Sabri

Kadar tol melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya sekitar Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penstrukturan itu dilaksanakan sejajar dengan prinsip serta objektif utama kerajaan iaitu untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia serta tidak melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban khususnya dengan kenaikan kadar tol sepertimana yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

“Penjimatan ini boleh dimanfaatkan bagi program pembangunan infrastruktur negara dan kemudahan-kemudahan lain yang perlu diutamakan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana menteri berkata keputusan itu dibuat setelah penelitian terperinci dilakukan meliputi semua aspek iaitu bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan kerajaan, lapor Bernama.

Ismail Sabri memaklumkan kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula melibatkan Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

Selain itu, ia juga melibatkan syarikat Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Ismail Sabri berkata penstrukturan itu juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Jan 2022 sehingga tamat tempoh konsesi serta penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol yang dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

Katanya perincian lanjut berhubung kelulusan kerajaan mengenai penstrukturan semula itu akan dimaklumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

BERITA BERKAIT
POPULAR