
Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Jawatankuasa Pengampunan Diraja, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ahli Jawatankuasa Pengampunan Diraja, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan akan mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata beliau tidak boleh membuat kenyataan terbuka berhubung proses pengampunan terhadap bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri itu.
Menurutnya kenyataan mengenai proses pengampunan terhadap Najib yang menjalani hukuman penjara 12 tahun, tidak boleh dibuat secara terbuka dan sewenang-wenangnya.
Memetik laporan BH beliau berkata kenyataan membabitkan usul pengampunan akan dikeluarkan apabila tiba masa yang sesuai.
“Saya juga ahli majlis berkenaan akan buat yang terbaik. Saya tidak boleh buat kenyataan terbuka kerana ia membabitkan perundangan, membabitkan dunia dan akhirat,” katanya kepada pemberita, selepas majlis penutupan Floria DiRaja 2022 di Putrajaya, hari ini.
Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usul untuk proses pengampunan terhadap Najib.
Menurutnya beliau turut mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam sebagai panduan.
Semalam, media melaporkan Yang diPertuan Agong bertitah, bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawab pada hari kemudian.
Baginda yang bertitah ketika menyempurnakan majlis perasmian dan pemasyhuran Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Kompleks Syariah Al-Sultan Abdullah, di Kuantan, menyatakan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.
“Ketidakadilan pelaksanaan undang-undang juga akan menyebabkan pihak yang lemah menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa.
“Keadilan tidak akan tercapai jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang sudah ternoda.
“Akibatnya, pihak yang lemah akan menjadi mangsa kepada pihak yang memiliki kuasa. Maka, titik permulaan menghalalkan penindasan dan kezaliman akan berlaku dalam sesuatu sistem pemerintahan.
“Keadilan tidak akan tercapai jika roh keadilan tidak terkandung dalam sanubari mereka yang diberikan amanah untuk mentadbir keadilan,” titah baginda lagi.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun mengesahkan Najib sudah memfailkan permohonan pengampunan diraja bersabit hukuman penjara dikenakan setelah didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC international Sdn Bhd.
Katanya, Najib memfailkan permohonan itu pada 2 September lalu, iaitu dalam tempoh 14 hari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes itu.