Tipu maklumat kad pengenalan, Sajat dikehendaki polis

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai ‘Sajat’ yang kini dikatakan berada di Australia, dikehendaki polis bagi membantu siasatan satu kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini Muhammad Sajjad yang merupakan saksi dalam perbicaraan kes tipu itu di Mahkamah Ampang Jaya, perlu hadir pada prosiding itu pada 22 Februari ini, lapor Bernama.

“Saksi berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Mastura Abdul Basher di talian 018-2053955,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada Jun tahun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Nur Sajat menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya sebelum ini berkongsi gambar rumah baharunya yang didakwanya terletak di Canterbury, Australia.

Dia turut menyatakan rasa terharu kerana pihak berkuasa Australia yang katanya banyak memberi sokongan terhadapnya daripada pelbagai aspek termasuk mendakwa diberi rumah itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR