Tingkatkan belanjawan penjagaan kesihatan dalam Bajet 2022

Berikutan kemajuan dalam teknologi perubatan, populasi menua, penyakit dan peningkatan permintaan terhadap penjagaan kesihatan, kos untuk perkhidmatan itu di Malaysia berkemungkinan melebihi kadar inflasi negara.

Justeru, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap agar belanjawan penjagaan kesihatan pada 2022 akan mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan ke arah pelaksanaan reformasi yang sangat diperlukan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, sejak 2006, belanjawan bagi penjagaan kesihatan negara adalah bawah empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“MMA turut menyokong pelaksanaan cukai lebih tinggi ke atas rokok serta bahan lain dan yang berbahaya seperti rokok elektronik (vape) dan gula.

“Kami harap kerajaan akan terus meningkatkan program Peka B40 untuk kumpulan berpendapatan rendah. Kami juga berharap kerajaan akan melihat kepada penyaluran perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tidak seimbang dalam usaha menjadikan perkhidmatan itu lebih mudah diakses di seluruh negara,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu melihat kepada pembentukan suruhanjaya penjagaan kesihatan yang bebas, ke arah reformasi penjagaan kesihatan yang sangat diperlukan.

Dalam pada itu, Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) dalam kenyataan memaklumkan, komitmen untuk meningkatkan peruntukan empat peratus akan menjadikan Malaysia selaras dengan negara-negara berpendapatan sederhana tinggi yang membelanjakan secara purata 3.8 peratus daripada KDNK untuk sistem penjagaan kesihatan awam sahaja.

Gabungan 29 pertubuhan berkaitan kesihatan dan 10 profesional kesihatan itu berpendapat bahawa peningkatan tersebut mesti diiringi dengan sistem pengawasan ketat terhadap perolehan untuk mengelakkan rasuah dan ketidakcekapan tadbir urus.

“Dana tambahan ini perlu untuk peralihan kepada strategi pengurusan Covid-19 jangka panjang dari segi program vaksinasi, pengendalian beban penjagaan kesihatan dan pengawasan kesihatan awam,” menurut gabungan itu.

MHC memberitahu Bajet 2022 juga perlu dibelanjakan secara agresif untuk menambah baik perjawatan dan meningkatkan moral semua kakitangan kesihatan dalam perkhidmatan awam.

“Secara khususnya, kami mencadangkan pelaburan dalam dua inisiatif di luar skop kesihatan, pertama meningkatkan sistem pengudaraan dalaman di Malaysia melalui kod bangunan baharu, insentif untuk pengubahsuaian bangunan dan langkah-langkah untuk meningkatkan kualiti udara dalaman seperti kredit cukai untuk kawalan tahap karbon dioksida atau pengudaraan mekanikal.

“Kedua, kami mencadangkan pengukuhan jaringan kesejahteraan sosial melalui langkah seperti pemberian wang tunai secara terus atau bersyarat, penyelarasan program kesejahteraan masyarakat dan membasmi kemiskinan daripada pelbagai dimensi,” menurut MHC.

BERITA BERKAIT
POPULAR