Tindakan tegas jika enggan terima aduan kes keganasan rumah tangga

Bukit Aman mengambil perhatian serius berhubung isu keengganan anggota polis menerima laporan kes melibatkan keganasan rumah tangga sebagaimana dibangkitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 28 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas jika benar terdapat sebarang perlanggaran dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga berhubung dakwaan KPWKM Isnin lalu.

Beliau berkata ini kerana sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 berkuat kuasa pada 1 Jun 1996, polis telah mengeluarkan beberapa arahan pentadbiran berhubung pengendalian penyiasatan kes berkenaan.

“Arahan tindakan tatatertib ke atas anggota yang enggan menerima laporan berkaitan kes keganasan rumah tangga juga turut dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta KPWKM atau mana-mana pihak terkesan berhubung isu dibangkitkan, untuk tampil serta memberi maklumat lebih terperinci supaya siasatan dalaman dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas anggota terlibat jika perkara itu benar berlaku.

Isnin lalu, KPWKM memaklumkan sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata pihaknya menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

Beliau juga dilaporkan berkata laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang mereka buat.

BERITA BERKAIT
POPULAR