Tindakan tak sokong usul SOSMA bukti pembangkang langgar MoU: Armada

Sayap pemuda Bersatu mengkritik tindakan blok pembangkang tidak menyokong usul melanjutkan kuatkuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747) atau SOSMA yang dibentang Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Ketua Armada, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan langkah tersebut menunjukkan Ahli Parlimen (MP) pembangkang tidak menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang dimerterai dengan kerajaan, malah sebaliknya boleh pula mendesak supaya RUU Anti Lompat Parti disegerakan.

“Armada Bersatu Malaysia mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong usul untuk melanjutkan kuatkuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747) atau SOSMA.

“Nampaknya pihak pembangkang masih belum habis lagi mengutamakan perbezaan politik berbanding kepentingan rakyat Malaysia.

“Ini bertentangan dengan amalan kebiasaannya iaitu semua pihak harus mengetepikan perbezaan peribadi atau politik dalam perkara-perkara yang melibatkan dasar keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, usul tersebut tidak mendapat sokongan sokongan apabila hanya 84 MP bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju dalam proses undi belah bahagi tersebut.

Usul tersebut dibentangkan awal hari ini bagi membolehkan individu yang disiasat bawah akta tersebut ditahan selama 28 hari.

Wan Ahmad Fayhsal juga membidas pembangkang seakan cuba memperlekehkan isu keselamatan negara apabila tidak menyokong usul tersebut.

“Selain tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) serta Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang telah dipersetujui akhir tahun lalu, tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya daripada DAP hari ini juga jelas memperlekeh dan memperkotak-katikkan usaha kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan satu persekitaran dan perimeter yang selamat.

“SOSMA merupakan salah satu instrumen pencegahan (deterrence) jenayah keganasan dan bagi memelihara kedaulatan negara kita.

“Subseksyen 4(5) ini amat penting kepada keselamatan negara bagi menangani jenayah dan keganasan, khususnya yang bersifat rentas sempadan seperti seperti serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013,” katanya lagi.

Beliau juga berkata tindakan tersebut mengkhianat rakyat kerana usul tersebut sepatutnya dapat digunakan untuk menjaga keselamatan orang ramai.

“Tindakan populis tidak bertanggungjawab yang mengkhianati rakyat dan membahayakan keselamatan negara ini amat dikesali, dan mereka pasti akan dihukum oleh rakyat kelak,” katanya lagi.

Terdahulu, usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebelum dibahaskan oleh 19 orang MP di dewan.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun saja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang di dalam penguatkuasaannya, namun ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Jelas Hamzah, tempoh 28 hari sebenarnya tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA adalah sangat rumit dan kompleks.

BERITA BERKAIT
POPULAR