Tindakan Indonesia tak jejas harga minyak sawit tempatan: Zuraida

May 22, 2022 · Isu semasa

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata langkah Indonesia untuk menarik balik larangan eksport minyak sawit berkuat kuasa 23 Mei, 2022 kemungkinan menyebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) terkesan.

Namun, kementerian itu menambah tidak akan ada penurunan harga yang mendadak memandangkan pasaran menjangkakan bahawa larangan eksport ini hanya bersifat sementara, lapor Bernama.

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan semua pengusaha kelapa sawit Malaysia termasuk firma perladangan dan pekebun kecil supaya tenang dan tidak terlalu bimbang dengan perkembangan terkini.

Tambahan pula, penurunan harga minyak sawit (MSM) baru-baru ini telahpun mengambil kira kemungkinan ini.

“Penganalisis pasaran turut menjangkakan pengusaha minyak sawit Malaysia bakal meraih faedah terbesar dalam jangka panjang kerana mereka mampu menjual MSM pada harga tinggi, sekali gus meningkatkan margin keuntungan bagi pertengahan kedua 2022, ditambah dengan pengeluaran yang lebih tinggi tahun ke tahun dan suku ke suku,” jelas beliau.

“Walaupun penarikan larangan eksport memberi kelegaan besar kepada penanam Indonesia, mereka sudah terlepas tempoh harga MSM yang tinggi (Februari-April 2022) apabila harga minyak sawit Indonesia didagangkan pada diskaun yang lebih besar berbanding Malaysia, akibat dasar kawalan eksport yang telah dilaksanakan lewat Januari 2022.”

Menurut Zuraida, dasar Indonesia mampu memberi manfaat kepada Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, memandangkan ini membolehkan Malaysia muncul sebagai pembekal dominan ke India, yang merupakan pembeli utama minyak makan dunia.

Cukai eksport Malaysia yang lebih rendah dan larangan eksport Indonesia mungkin menyebabkan sumbangan eksport minyak sawit Indonesia ke India jatuh kepada 35 peratus pada tahun pemasaran semasa yang berakhir pada 31 Okt, 2022 daripada lebih 75 peratus sedekad lalu, menurut anggaran daripada Solvent Extractors’ Association of India (SEA), sebuah badan perdagangan minyak sayuran.

Dalam lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/22, India membeli 1.47 juta tan minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan metrik tan dari Indonesia, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh SEA.

Untuk Mei tahun ini, India dianggarkan mengimport sekitar 570,000 tan minyak sawit, dengan 290,000 tan dari Malaysia dan 240,000 tan dari Indonesia, kata Zuraida.

“Justeru, KPPK percaya bahawa harga MSM akan kekal pada paras tinggi, memandangkan ketidaktentuan pengeluaran minyak bijian utama (seperti kacang soya, jagung dan biji bunga matahari) sama ada disebabkan oleh ketegangan geopolitik atau cuaca yang tidak menentu.

“Akhir sekali, walaupun Indonesia akan menyambung semula eksport minyak sawitnya pada 23 Mei (Isnin) – hampir sebulan selepas mengenakan larangan pada 28 April – masih terdapat kemungkinan perubahan polisi memandangkan harga minyak sawit di pasaran domestik Indonesia masih belum turun ke tahap yang disasarkan (malah, penarikan balik larangan ini boleh mengakibatkan berulangnya kekurangan domestik di Indonesia).”

Memandangkan prospek jangka sederhana hingga panjang industri minyak sawit Malaysia kekal cerah, KPPK menyeru semua pengusaha kelapa sawit Malaysia untuk berganding bahu dalam membantu menjayakan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan yang bertujuan menentang pelbagai tanggapan salah berkenaan minyak sawit Malaysia dalam memacu kejayaan komoditi ini di peringkat global.

Berita berkaitan
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024· Politik
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
November 29, 2023· Politik
Tiada subsidi RON95 pada 2024 tapi hanya secara bersasar sahaja: Rafizi
November 27, 2023· Isu semasa
Warga Indonesia dipercayai dibaham harimau di Gua Musang
November 11, 2023· Isu semasa
Popular
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Reka bentuk baharu jalan Bukit Kayu Hitam ke Sadao siap November
August 28, 2022
Kemiskinan berleluasa, ketidakstabilan ekonomi akibat rasuah
February 8, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok