Tindakan doktor palsukan sijil vaksin tak bertanggungjawab: Hishammuddin

Pengamal perubatan dan doktor yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi dibidas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai tidak bertanggungjawab terhadap negara.

Hishammuddin berkata mereka wajar dikenakan hukuman paling berat kerana menjejaskan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia yang lain.

“Saya melihat kejadian ini secara serius kerana tiada maknanya kerajaan berhempas-pulas mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pandemik Covid-19 sedangkan mereka sendiri melanggarnya.

“Perkara ini sebenarnya amat susah untuk saya sendiri terima kerana ianya berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan rakyat di negara kita sendiri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-11, Menteri Kuartet Covid-19 hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek pada Sabtu.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Dalam tempoh berkenaan, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600.

BERITA BERKAIT
POPULAR