
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan naib presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menyediakan Bajet 2023 yang mempunyai faktor ‘wow’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau menyifatkan bajet itu adalah bajet Ismail Sabri, yang juga Perdana Menteri, selain bajet UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Memetik Utusan beliau menjangkakan masa terbaik untuk mengadakan PRU-15 adalah selepas pembentangan Bajet 2023 pada Oktober depan.
“Apabila kita kata bajet, ini bajet Ismail Sabri, bajet UMNOlah, bajet BN (Barisan Nasional). Nak pilihan raya buatlah bajet yang elok-elok.
“Tapi bajet pilihan raya ini mesti ada sesuatu yang dipanggil sebagai wow factor, jadi buatlah. Jadi, lepas pembentangan bajet, bolehlah buat pilihan raya.
“Kalau nak buat sebelum bajet buat apa, tak ada mileage (kelebihan) kan. Ataupun nak buat lama (lagi) selepas bajet pun tak guna juga,” katanya dalam pertemuan dengan akhbar itu di ibu negara kelmarin, dengan berita mengenainya disiarkan hari ini.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat Hasan’ berkata, beliau sebelum ini merasakan Mac atau Jun tahun ini paling sesuai dilaksanakan PRU mengambil kira momentum kemenangan bergaya BN dalam dua pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor serta 10 pilihan raya kecil terdahulu.
Malah katanya, pembangkang turut kecundang teruk dalam pilihan raya negeri Sarawak 18 Disember tahun lalu.
“Namun kita faham sebab parti dan kerajaan dua entiti yang berbeza. UMNO…UMNO, kerajaan…kerajaan.
“Bagi pihak parti, ini parti punya wishlist, tapi bagi pihak kerajaan dan Perdana Menteri, dia ada pertimbangan-pertimbangan yang lain termasuk MoU dengan pembangkang yang akan berakhir 31 Julai ini,” katanya.
Untuk rekod MoU itu sebenarnya tiada tarikh tamat, sebagaimana dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU itu, Tan Sri Annuar Musa.
Mengenai `khemah besar’ yang sedang dirancang oleh parti-parti pembangkang, Mohamad berkata ia tidak akan berjaya membentuk kerajaan yang stabil kerana motifnya semata-mata hanya untuk menjatuhkan BN.
“Dulu Pakatan Harapan (PH) pun ada khemah yang amat besar tapi hanya bertahan 22 bulan.
“Kali ini mereka risau dengan BN. Orang kata memang takutlah pada BN. Kalau saya di sebelah sana pun saya takut. Ombak gelombang sokongan rakyat kepada BN telah kembali,” katanya.
Beliau juga berharap UMNO tidak dipersalahkan atas pentadbiran singkat kerajaan PH tempoh hari.
“Bukan kita jatuhkan PH ya. Jangan silap faham. Orang kata kerajaan PH jatuh sebab Langkah Sheraton. Tidak. Kerajaan PH jatuh sebab Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat mutiny.
“Mutiny ini pemberontakan ataupun mengkhianati parti dia sendiri dan bersama-sama (Datuk Seri) Azmin Ali dan geng-geng dia. Apa pula nak disalahkan UMNO,” katanya.
Untuk rekod, pada 16 Ogos tahun lalu, Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri setelah 15 Ahli Parlimen UMNO, termasuk presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengkhianati sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).