
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (PN), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying gagal menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini dan ia satu yang memalukan kerajaan campuran yang dilihat tidak cekap.
Timbalan Menteri DAP itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dan bersedia untuk menjawab soalan di Dewan Rakyat tetapi sebaliknya tidak mempunyai jawapan kepada soalan yang ditanyakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (PN), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Ahmad Marzuk berkata lebih baik Hui Ying meletak jawatan kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana tidak memjawab kepada soalan dikemukakannya berkaitan isu peruntukan dan mekanisme pemantauan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Beliau berkata, adalah satu pembaziran wang kerajaan untuk menggajikan Hui Ying yang tidak mampu menggalas tanggungjawab diberikan.
“Saya fikir perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen, …saya meminta Menteri Pendidikan atau timbalannya menjawab soalan nombor 16.
“Sayangnya Timbalan Menteri Pendidikan itu tidak menyediakan jawapan, ini tidak sepatutnya berlaku. Malah saya juga bertanyakan, jika beliau tidak ada jawapan kepada soalan asal, bolehkah dia menjawab soalan tambahan, namun beliau nampaknya tidak bersedia dan hanya datang untuk memenuhi kerusi di sebelah sana.
“Seseorang timbalan menteri itu perlu hadir ke Dewan Rakyat dengan persediaan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sebelum ini, tindakan Hui Ying yang gagal menyediakan jawapan ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor yang menyatakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, jawapan kepada soalan dikemukakannya itu sepatutnya sudah disediakan lebih awal dan dibacakan di Dewan Rakyat hari ini.
“Jawapan sepatutnya sudah ada, tetapi beliau tidak bawa atau baca. Jika nak jadi kerajaan, sepatutnya dua minggu sebelum sidang ini sudah selesai bab jawapan ini,” katanya.