
Paras air beberapa sungai mencatat bacaan melebihi tahap bahaya susulan hujan lebat.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan bacaan air di tiga sungai di dua daerah di Johor sehingga jam 6.45 pagi ini (24 Januari, 2023), melepasi paras bahaya, dua tahap amaran dan tiga lagi waspada.
Data publicinfobanjir menunjukkan bacaan paras air di stesen Sungai Muar di Muara Sungai Gemas adalah 18.97 meter (m), manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, kedua-duanya di Segamat, adalah 6.04m, berbanding 4.10, paras normal.
Satu lagi ialah Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang yang mencatat bacaan 14.01m berbanding 10.00m paras normal.
Sementara itu, Sungai Muar di Kampug Awat mencatat bacaan melebihi paras amaran apabila merekodkan 19.68m berbanding 18.00m; manakala Sungai Sehamat di Segamat Kecil pula 37.30m (34.00m paras normal).
Tiga sungai mencatat paras waspada ialah Sungai Sarang Buaya di Kampung Parit Tengah, Muar (2.94m/0.50m), diikuti Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak (3.05m/2.00m); dan Sungai Batu Pahat di Empangan Sembrong, Batu Pahat (10.13m/8.50m).
Selain itu, data juga menunjukkan sungai di tujuh negeri lain – Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Sarawak dan Sabah – mencatat bacaan melepasi paras amaran dan waspada.
Di Kedah, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar mencatat bacaan melebihi paras amaran apabila merekodkan 1.69m, berbanding 1.30m paras normal, manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya (1.58m/1.30m), dan Sungai Kerian di Rumah Pam Bandar Baharu (1.15m/0.50m) – kedua-dua paras waspada.