Tiga pemimpin anak muda anjur perhimpunan haram didakwa

August 18, 2022 · Isu semasa

Tiga pemimpin anak muda daripada Parti Amanah Nasional (AMANAH), PKR dan kesatuan pelajar universiti awam, hari ini, mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret Kuala Lumpur berkaitan menganjurkan perhimpunan haram bulan lalu.

Mohd Hasbie Muda, 35, (Ketua Pemuda AMANAH); Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya, 33, (Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR Cabang Batu); dan presiden sebuah kesatuan pelajar, Muhammad Aliff Naif Mohd Fizam, 24, dituduh gagal memaklumkan kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan membantah kenaikan harga barang di dua lokasi berbeza di ibu negara.

Mohd Hasbie didakwa gagal memaklumkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang jam 2 petang, 1 Julai lalu.

Muhammad Sabda pula didakwa melakukan perbuatan sama sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira jam 3.30 petang, 9 Julai lalu.

Memetik Utusan, Muhammad Aliff Naif pula didakwa atas perbuatan tersebut juga di hadapan Kompleks Sogo, kira-kira jam 2 petang, 23 Julai lalu.

Selaku penganjur perhimpunan, ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin; Afiq Nazrin Zaharinan; Izalina Abdullah; Muhamad Zuraidi Zulkifli; dan Nur Aqilah Ishak, manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Faiz Fadzil; Bryan Ng Yih Miin; dan Asheeq Ali Sethi Alivi.

Semua kes itu disebut di hadapan majistret Wong Chai Sia; S Mageswary; dan Aina Azahra Arifin.

Mohd Hasbie dan Aliff Naif masing-masing dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala Muhammad Sabda sebanyak RM7,000.

Kes terhadap Mohd Hasbie disebut pada 22 September, Muhammad Sabda (28 September) dan Muhammad Aliff Naif (21 September) untuk serahan dokumen.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar Muhammad Aliff Naif dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang membuat kenyataan bersifat `sub judice’ di luar mahkamah hingga kes selesai.

Terdahulu, Faiz yang mewakili Mohd Hasbie memohon pertuduhan terhadap anak guam dibatalkan serta-merta atas alasan pertuduhan itu tidak berasas dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Kamarul Aris berhujah permohonan itu bersifat pramatang pada peringkat ini dan isu yang dibangkitkan perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Chai Sia kemudian menolak permohonan itu dan mencadangkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi di Mahkamah Tinggi.

Berkaitan pengurangan jaminan, Faiz memohon jaminan RM10,000 yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM1,000 atas alasan anak guamnya yang merupakan ahli politik tidak mungkin melarikan diri.

Sebelum itu, Kamarul Aris memohon Mohd. Hasbie dikenakan syarat jaminan tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport, melapor diri di balai berdekatan dalam tempoh dua minggu serta dilarang mengeluarkan komen berbentuk `sub judice’.

Bagaimanapun, Chai Sia mempertikai permohonan syarat tambahan kerana kesalahan itu hanya mengenakan hukuman denda, tanpa pemenjaraan.

“Bagaimana kepentingan awam (yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan) boleh melangkaui peruntukan undang-undang yang membolehkan syarat tambahan dikenakan,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengenakan syarat tambahan terhadap Mohd Hasbie.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Hubungi 997 jika kena scam
October 14, 2022
Iklan ‘duit raya’ GDBET333 dinyahaktif
April 16, 2021
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok