Pihak pengurusan Giant Ulu Kelang hari ini mengesahkan tiga pekerjanya yang menjalankan pelbagai tugas di bahagian stor dipasar raya itu positif Covid-19 pada Jumaat.
“Tarikh terakhir mereka bekerja di stor adalah pada 27 Mei 2021 dan bertugas di pelbagai peranan di stor tersebut.
“Pihak kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan yang berkaitan bagi memastikan bahawa kami memberikan pemeriksaan dan ujian kesihatan yang diperlukan kepada ahli pasukan kami seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Giant dalam satu kenyataan hari ini.
Giant juga berkata pasar rayanya di Ulu Kelang ditutup mulai hari ini 29 Mei 2021 untuk prosedur pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh, bagi memastikan keselamatan orang ramai, sebelum membukanya semula pada Ahad.
Menurut syarikat itu pelanggan yang pernah berurusan di pasar raya berkenaan pada tarikh berkaitan boleh merujuk untuk tindakan lanjut KKM menerusi talian hotline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis KKM di talian 03 88810200/0600 dan 0700.
“KKM akan melakukan pengesanan kontak rapat dan para pelanggan boleh merujuk kepada KKM untuk pengesahan lanjut,” katanya.
Giant juga berkata kesejahteraan pekerja dan pelanggan tetap menjadi keutamaan dan amalan serta langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19 sentiasa dilaksanakan.
“Niat kami adalah untuk tetap telus, menyampaikan maklumat di atas sebagai sebahagian daripada tindakan proaktif kami bagi memastikan semua orang mendapat maklumat dan membantu mengekang penyebaran virus,” kata kenyataan itu.