
Tiga negeri dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Putrajaya sedang menimbang tiga negeri untuk peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula minggu depan, ia antaranya Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Menurut sumber, tiga negeri tersebut tidak akan lagi dikenakan sekatan penuh seperti Fasa 1 memandangkan nilai ambang kes jangkitan Covid-19 berjaya dilandaikan hasil PPN yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa hari lalu untuk meneliti cadangan peralihan tersebut bagaimanapun terdapat kebimbangan melibatkan kes jangkitan Covid-19 di Selangor yang masih belum menunjukkan penurunan.
“Langkah ini bagi mengelak negeri-negeri yang menunjukkan perkembangan positif fasa pemulihan tetapi terhalang daripada beralih ke fasa berikutnya kerana kes-kes Covid-19 yang masih tinggi di negeri Selangor.
“Langkah ini selaras dengan perancangan PPN yang lebih fokus dan bukan pendekatan one-size-fits-all,” kata sumber dipetik Astro Awani.
Berdasarkan kerangka PPN di peringkat pusat, Fasa 1 kawalan pergerakan dilanjutkan kerana kes Covid-19 belum mencapai nilai ambang di bawah 4,000 selama tujuh hari sebelum beralih ke fasa seterusnya.
Dalam pada itu, beberapa perkara sedang diteliti untuk menangani penularan kes di Selangor yang tidak menunjukkan penurunan ia termasuk memperketat kawalan pergerakan di negeri itu.
Selangor hari ini juga mencatatkan rekod kes tertinggi sebanyak 2,836 kes baharu.
PPN adalah strategi peralihan keluar daripada krisis Covid-19 merangkumi empat fasa, dan peralihan daripada setiap fasa kepada fasa seterusnya adalah berdasarkan data daripada tiga indikator ambang utama.