Tiga negeri catat kenaikan kes, tiga kluster baharu dikesan hari ini

Hanya tiga sahaja negeri yang mencatatkan kenaikan kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, seiring penurunan keseluruhan kes daripada 5,713 yang direkodkan semalam kepada 4,922 kes hari ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri, dalam tempoh 24 jam itu, Perak merekodkan peningkatan daripada 210 kes semalam kepada 258 kes hari ini, menjadikan kumulatif di negeri itu sejak awal tahun lalu kepada 117,176 kes, dengan 113,506 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam Perak merekodkan 2,358 kes aktif dengan 1,779 individu menjalani kuarantin di rumah; 137 ditempatkan di PKRC; 388 dirawat di hospital; dan 54 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Terengganu pula mencatat 238 jangkitan baharu berbanding 234 kes semalam menjadikan kumulatif kepada 70,490 kes positif, dan 67,214 pesakit telah sembuh.

Sementara Negeri Sembilan merekodkan 227 jangkitan baharu berbanding 188 kes semalam. Keseluruhan kes di negeri itu ialah 103,466 kes positif, dan 100,136 pesakit telah sembuh.

Selangor, walaupun jangkitan baharu turun hari ini kepada 1,075 daripada 1,344 kes semalam, namun menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, tiga kluster baharu dilaporkan di seluruh negara.

Katanya angka itu menjadikan keseluruhannya 5,796 kluster dengan 5,441 telah ditamatkan dan 355 kluster lagi masih aktif.

Satu kluster tempat kerja dikesan di Kuala Muda, Kedah melibatkan 54 individu daripada 198 yang disaring, manakala kluster pendidikan tinggi dilaporkan di Titiwangsa, Kuala Lumpur membabitkan sembilan individu daripada 72 saringan.

Satu lagi kluster baharu membabitkan komuniti Muhibbah Sungai Papan di Kota Tinggi, Johor yang melibatkan 17 individu daripada 22 yang disaring, kata Dr Noor Hisham.

Pada masa sama beliau berkata seramai 5,579 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes sejak awal tahun lalu kepada 2,401,823 pesakit pulih, berbanding 2,497,265 kumulatif positif.

“Daripada jumlah kes hari ini, 10 adalah kes import yang turut melibatkan tiga bukan warganegara, manakala 4,912 kes tempatan juga membabitkan 222 rakyat asing,” katanya.

Menurutnya 549 pesakit dirawat di ICU dengan 282 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu hari ini juga 80 kes atau 1.6 peratus melibatkan kategori 3, 4 dan 5, manakala selebihnya atau 98.4 peratus adalah pesakit kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR