Tiga maut kereta putus dua

Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pagi ini 18 April 2021.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang maut ialah G Sharvinath, 21, J Jordan Jackson, 19, dan D Hervinraj, 16.

“Siasatan awal mendapati pada jam 6.49 pagi, tiga sahabat itu menaiki kereta Proton Wira dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu telah hilang kawalan, kemudian melanggar batu penghadang jalan lalu berpusing sebelum merempuh sebatang pokok,” katanya

Komander Operasi Kanan, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Hasim berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.49 pagi.

“Seramai 18 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dan Pantai bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Nazri berkata kemalangan itu mengakibatkan kenderaan terbabit remuk dan terputus dua bahagian.

BERITA BERKAIT
POPULAR