
Kejadian lima individu menyerang seorang ustaz dan pelajar tahfiz di Kuala Lipis 11 Ogos lalu turut tular di media sosial. - Gambar FB
Tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit menyerang seorang ustaz dan pelajar di sebuah pusat tahfiz di Kuala Lipis, yang tular di media sosial sejak semalam, berjaya ditahan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata dengan penahanan itu menjadikan kesemua lima individu yang terlibat telah ditahan.
Beliau berkata dua daripada suspek ditahan di Terengganu iaitu seorang di sebuah rumah di Kuala Nerus sekitar jam 1 pagi tadi, disusuli suspek seterusnya di Kuala Terengganu, kira-kira sejam kemudian.
Suspek terakhir pula ditahan di sebuah rumah di Felda Lepar Utara, Jerantut pada jam 8 pagi tadi, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis heroin, selain dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.
Semalam, Azli memaklumkan polis menahan dua lelaki di sekitar Damak, Jerantut bagi membantu siasatan kes serangan yang didakwa berlaku pada jam 5.10 petang, Khamis lepas sehingga menyebabkan seorang ustaz cedera di mata kanan dan menerima empat jahitan.
Kejadian yang didakwa berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati dengan bayaran makanan yang dikenakan di pusat tahfiz itu, juga dikatakan turut menyebabkan seorang pelajar lelaki sakit badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kawasan.