
Data 18 Mac 2022 bagi kes kematian seluruh negara.
Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Jumaat, 18 Mac 2022) turun kepada 59 kes, berbanding 86 kes pada Khamis, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Jumlah itu adalah yang kedua terendah bulan ini, setelah merekodkan 55 kematian pada 6 Mac lalu.
Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini jam 7 pagi tadi menunjukkan 13 daripada kematian semalam berlaku di luar fasiliti kesihatan sebelum dibawa ke hospital atau kes ‘brought in death’ (BID).
Bagaimanapun, tiada angka rasmi menunjukan sama ada 13 kes itu turut melibatkan 284,592 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah. Kelantan semalam merekodkan enam kematian akibat Covid-19, dengan semuanya melibatkan kes BID.
Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 34,244 kes, termasuk 7,176 kes BID. Angka itu adalah yang keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN, selepas Indonesia, Filipina, dan Vietnam.
Berdasarkan data CovidNOW, Perak merekodkan kes kematian tertinggi tiga hari berturut-turut berbanding negeri-negeri lain, apabila mencatat 15 kematian semalam, berbanding 16 pada Khamis dan 21 kes pada Rabu.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 di Perak meningkat kepada 1,701 kes, dengan kumulatif positif sebanyak 176,092 kes. Daripada jumlah kes positif itu seramai 161,417 pesakit telah pulih.
Sehingga semalam, Perak mencatat 12,974 kes masih aktif, termasuk 12,134 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 78 ditempatkan di PKRC; 735 dimasukkan ke hospital; dan 27 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh satu minggu lalu, 25 kematian akibat Covid-19 di Perak melibatkan individu berusia 70 hingga 79 tahun; 80 tahun dan ke atas (24 kes); 60 hingga 69 tahun (17 kes); 50 hingga 59 tahun (tujuh kes); 40 hingga 49 tahun (empat kes); 30 hingga 39 tahun (dua kes); dan 18 hingga 29 tahun (satu kes).
Sehingga 17 Mac, seramai 1,866,339 atau 74.4 peratus populasi di Perak telah lengkap divaksinasi, 1,976,456 atau 78.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,109,385 atau 59.1 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.
Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, Selangor mencatat 12 kes kematian semalam, diikuti 11 di Johor; Kelantan (enam); Melaka (lima); Pahang (tiga); masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Pulau Pinang serta Sarawak; dan satu kes di Kedah.
Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Perlis, Sabah, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 18 Mac 2022.