Tidak adil tuduh kerajaan gagal tangani Covid-19, pulih ekonomi

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata adalah tidak adil untuk mengatakan Malaysia gagal menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara tatkala pandemik berlanjutan.

Beliau malah yakin rakyat Malaysia mampu berdepan situasi mencabar dan bangkit semula sebagaimana yang dilakukan dalam banyak krisis sebelum ini.

“Kegagalan bukan pilihan bagi Malaysia dalam menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi. Malah, dakwaan Malaysia negara gagal adalah penilaian yang tidak adil, memandangkan kejayaan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi, yang menjadi kunci kepada pemulihan,” katanya.

Menulis di dalam New Straits Times hari ini beliau menjelaskan tidak ada penyelesaian yang sempurna untuk membolehkan negara keluar daripada tekanan dan menghalang sekatan pergerakan sekali untuk semua.

Namun, katanya, kerajaan yakin strategi yang disusun dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bukan saja menjadi cahaya di hujung terowong, tetapi juga cahaya yang akan membimbing negara keluar dari terowong.

“Kegagalan bukanlah pilihan. Insya-Allah, rakyat Malaysia akan mengatasi krisis ini bersama-sama dan hari yang lebih baik menuju ke depan,” katanya yang juga Menteri Penyelaras PPN.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia, seperti banyak negara Asia Tenggara lain berdepan peningkatan jangkitan Covid-19 didorong sebahagiannya oleh varian baharu yang menular dengan pantas dan membawa maut.

Beliau berkata, baru-baru ini, kadar vaksinasi secara konsisten melepasi 300,000 dos setiap hari, malah Penjejak Vaksin Covid-19 Bloomberg menunjukkan dengan jelas bagaimana kadar vaksinasi Malaysia telah meningkat secara pantas, dengan kini hanya memerlukan lima bulan untuk mengimunisasi 75 peratus penduduknya berbanding anggaran 4.5 tahun yang dibuat pada April.

Katanya, setakat ini, 3.1 juta orang atau lebih 10 peratus penduduk dewasa Malaysia diberi vaksin sepenuhnya, malah mengikut laman web World In Data Covid, Malaysia kini adalah antara negara tertinggi di dunia dari segi suntikan harian yang diberikan kepada setiap 100 orang dalam populasi, mengatasi negara seperti China, Britain, Perancis dan Jerman pada 10 Julai.

“Kini bekalan yang mencukupi akhirnya sampai di negara ini, kita melakukan semua usaha sebaik mungkin dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, sektor swasta dan masyarakat awam untuk vaksinasi secara besar-besaran,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, walaupun terdapat banyak perubahan dan ketidakpastian yang berterusan, termasuk landskap politik yang mencabar sejak bermulanya pandemik, kerajaan telah melakukan yang terbaik dan akan terus melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.

POPULAR