
Datuk Abdul Khalib Abdullah.
Kerajaan sewajarnya mengagihkan peruntukan untuk penurapan jalan mengikut keluasan daerah memandangkan keluasan setiap daerah berbeza.
Ahli Parlimen PN-Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata peruntukan sama rata RM100,000 yang diberikan kerajaan bagi setiap daerah itu tidak adil bagi kawasan yang lebih besar.
“Ada di antara daerah lebih besar dan ada daerah lebih kecil tetapi mereka dapat peruntukan sama iaitu RM100,000.
“Jadi saya memohon kalau boleh dipertimbangkan semula kepada daerah besar ini diberikan peruntukan lebih,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.
Beliau turut memberi contoh keluasan kawasannya di Rompin 5,247km persegi berbanding Melaka yang hanya berkeluasan 1,650km persegi.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada setiap daerah bagi tujuan penurapan jalan Persekutuan yang rosak serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat.