Tiada yang mati kebuluran jika Selangor tutup sementara sektor perkilangan: Pakar Ekonomi

Pakar ekonomi berpandangan Selangor masih mampu menanggung bebanan kewangan sekiranya menutup sementara sektor-sektor perkilangannya, kerana negeri itu masih mampan kedudukan ekonominya.

Penganalisis ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, malah Selangor mampu untuk memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan jika tindakan itu diambil.

“Insya-Allah tiada sesiapa yang mati kebuluran tutuplah. Di Palestin itu lebih dahsyat keadaanya, kita lagi baik kedudukannya.

“Selangor negeri kaya, ia boleh bagi bantuan kepada rakyatnya (mereka yang terjejas),” katanya kepada Agenda Daily ketika diminta mengulas kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.

Terdahulu, kerajaan PKR Selangor menolak untuk ‘total lockdown’ kerana dibimbangi akan menjejaskan keadaan ekonomi negeri.

Selain itu, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk menutup buat sementara kilang-kilang di negeri itu meskipun wujud kluster di tempat kerja di sektor berkenaan.

Sebaliknya, kerajaan Selangor hanya melaksanakan Program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) bagi memutuskan rantaian serta mengelakkan kluster di tempat kerja.

POIS digunakan bagi mengenal pasti kilang-kilang di seluruh Selangor sebagai kawasan utama penularan wabak.

Justeru, Dr Shazali menyarankan agar kerajaan negeri mendengar saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau KKM kata tutup…tutuplah, kita tiada pilihan kerana virus Covid-19 ini mudah tersebar.

“Jadi kena tutup, sebab itu dalam Malaysia ini jangan terlampau banyak kepala, KKM sudah menilai, ia melibatkan nyawa,” katanya.

Tegasnya lagi, pemimpin yang utamakan wang bukanlah pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat.

“Pemimpin yang utamakan duit bagi saya tak utamakan rakyat,” tegasnya.

Jangkitan Covid-19 terus menunjukkan trend membimbangkan dengan KKM merekodkan angka tertinggi baharu iaitu 6,806 kes positif, dalam tempoh 24 jam semalam, dengan 59 kematian – rekod baharu jumlah tertinggi meninggal dunia dalam sehari kerana Covid-19.

Selangor kekal menyumbang angka tertinggi dengan 2,277 kes.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan meskipun pakar Kesihatan Awam telah membuat gesaan supaya segera dilaksanakan PKP penuh terutamanya di Selangor namun sehingga ke hari ini kerajaan negeri naungan PKR itu masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman, pelaksanaan itu perlu disegerakan kerana jika lambat bertindak ia akan memberi kesan yang lebih dahsyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR