Tiada vaksin tamat tempoh diberi kepada orang ramai: KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan tiada stok vaksin Covid-19 yang luput tarikh dibekalkan kepada Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), untuk diberikan kepada orang ramai.

Malah, KKM sentiasa memantau secara berterusan bekalan dan tarikh luput vaksin yang diterima, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim.

Beliau berkata pemantauan itu dilakukan dengan mengguna pakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada beberapa kiriman dan video yang dimuat naik dan ditularkan di media sosial berhubung dakwaan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada penerima, sama ada telah luput atau hampir luput.

Namun, katanya sesetengah dakwaan itu tidak dapat disiasat dengan sewajarnya kerana maklumat lokasi dan tarikh kejadian serta maklumat produk yang terlibat tidak dinyatakan.

Norhaliza menjelaskan penentuan jangka hayat produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 ditetapkan berdasarkan ujian kestabilan produk vaksin yang dijalankan pengilang pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu.

“Ujian tersebut dijalankan pada masa nyata untuk suhu penyimpanan tertentu. Vaksin Covid-19 dibangunkan dalam jangka masa yang singkat iaitu kurang daripada dua tahun, sebagai tindak balas kepada wabak tersebut berbanding tempoh pembangunan biasa sesuatu produk farmaseutikal.

“Oleh itu, tempoh ujian dijalankan untuk menentukan jangka hayat vaksin adalah terhad. Pihak Pengilang hanya dibenarkan untuk meletakkan tarikh luput berdasarka tempoh kestabilan vaksin itu telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi,” katanya.

Beliau berkata tempoh jangka hayat vaksin akan berubah sekiranya terdapat perubahan suhu penyimpanan dan tarikh luput baharu diberikan kepada produk tersebut berdasarkan permohonan pelanjutan jangka hayat yang dikemukakan pengilang kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.

“Pelanjutan tempoh jangka hayat produk vaksin tersebut hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan regulatori.

“Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.

Norhaliza berkata NPRA meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty (Pfizer) daripada enam kepada sembilan bulan, vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran China (daripada sembilan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac (Sinovac) keluaran Pharmaniaga Lifescience, Malaysia (daripada enam kepada 12 bulan).

Menurutnya NPRA juga meluluskan pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia dari enam kepada 12 bulan pada 17 Disember tahun lalu.

“KKM sentiasa komited memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada penduduk Malaysia telah dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

“Penilaian manfaat risiko bagi vaksin Covid-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR