Tiada tindakan undang-undang gagal ambil dos penggalak, kata Khairy

Kerajaan tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap individu yang enggan menerima dos penggalak, sebaliknya golongan itu tidak akan menikmati beberapa kelonggaran seperti penerima lengkap vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini kerana kerajaan tidak mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 kepada penduduk negara ini.

Menurutnya penerima vaksin yang melengkapkan dos premier tetapi tidak mengambil dos penggalak akan hilang beberapa kelayakan sebagaimana dinikmati oleh penerima lain yang mengambil dos penggalak.

“Tiada tindakan undang-undang… Ia bukan wajib dari segi undang-undang. Kalau ada pun, tak dapat menikmati beberapa kelonggaran seperti penerima vaksin penuh.

“Kita masih lagi meyakinkan masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini 25 Mac 2022.

Semalam, Khairy berkata dianggarkan dua juta penerima vaksin jenis Sinovac yang tidak mengambil dos penggalak akan hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April ini.

Februari lalu, penerima Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun ke atas diminta mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac dan mereka akan hilang status lengkap vaksinasi jika gagal berbuat demikian.

KKM kemudian melanjutkan tempoh sehingga 31 Mac 2022 bagi penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Sementara itu, Khairy mengesahkan Pfizer mengalami kelewatan dalam menghantar bekalan pil antiviral, Paxlovid, keluaran syarikat itu kepada Malaysia.

“Kita sudah menandatanganinya dengan Pfizer, cuma Pfizer yang lambat. Saya beritahu Pfizer tadi kalau media tanya, saya akan cakap masalah adalah pada Pfizer.

“Mereka kata akan hantar hujung bulan ini iaitu dalam seminggu lagi,” katanya.

KKM memuktamadkan pembelian Paxlovid bulan lalu dengan perolehan pertama membabitkan bekalan kepada 110,000 pesakit Covid-19 berisiko tinggi.

BERITA BERKAIT
POPULAR