Tiada tanda gejala serius, lapan ahli keluarga Exco Perak positif Covid-19

Meskipun tiada tanda gejala serius, lapan ahli keluarga Exco Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin disahkan positif jangkitan Covid-19.

Menurut Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak itu, beliau bagaimanapun negatif pandemik itu setelah memperoleh hasil ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang dijalankan minggu lalu.

Katanya, selain isterinya yang berumur 52 tahun, lima anak perempuannya berusia 22 hingga 29 tahun, menantu lelaki berusia 29 tahun dan cucu perempuannya berusia 3 tahun, turut positif.

Tambahnya, mereka tidak menunjukkan gejala yang serius dan kini menjalani kuarantin di kediamannya di Kampung Attaduri, Langkap di Teluk Intan sehingga 30 Mei ini.

“Mereka kuarantin di rumah dengan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Teluk Intan kerana tidak menunjukkan simptom yang serius.

“Kecuali anak sulung saya yang mengalami demam dan dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 19 Mei lalu. Dia kini stabil dan dibenarkan keluar wad pada Ahad lalu,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, beliau tetap menjalani proses kuarantin atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya sudah selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, tetapi saya tetap ambil keputusan untuk kuarantin di rumah berasingan sehingga 30 Mei nanti,” ujarnya

BERITA BERKAIT
POPULAR