Tiada rombakan Kabinet, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menolak desas-desus mengatakan beliau akan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

Sambil menyifatkan khabar angin itu sebagai spekulasi semata-mata, Perdana Menteri berkata perkara itu tidak sepatutnya timbul dalam keadaan negara masih dilanda bencana banjir, sementara pandemik Covid-19 masih belum dapat diatas.

“Tidak akan ada rombakan Kabinet setakat ini, sebaliknya tumpuan kerajaan kini kepada isu yang mencengkam rakyat terutamanya bencana banjir dan pandemik Covid-19.

“Nama-nama tu macam-macam nama yang keluarlah… macam biasalah, dulu pun macam tu juga.

“Saya dah beritahu tadi, fokus saya sekarang adalah untuk banjir, jadi saya tak nak bercakap pun soal ada ke tak ada rombakan Kabinet, setakat ini selagi saya tak umumkan, tak adalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan kepada 55 ketua isi rumah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa di sini, berikutan banjir yang kembali melanda Melaka sejak Sabtu lalu.

Sejak kebelakangan ini, timbul desas-desus bahawa Ismail Sabri akan melakukan rombakan Kabinet dengan melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan menggugurkan tiga menteri daripada jawatan yang disandang mereka.

Agenda Daily hari ini turut melaporkan Ismail Sabri bakal meletakkan seorang Ahli Parlimen (MP) daripada UMNO untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam rombakan Kabinet yang diuar-uarkan minggu depan.

Berada di tangga teratas pilihannya ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilihat lebih berwibawa daripada MP UMNO yang lain, terutama di dalam urusan pentadbiran Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Agenda Daily, Ismail Sabri tidak boleh mengetepikan beberapa individu lain bagi mengisi kerusi TPM, terutama dua pemimpin Bersatu – Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Berita berkaitan 

Ketika melawat PPS Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, Segamat Johor yang menempatkan 117 mangsa daripada 26 keluarga, Perdana Menteri berkata belau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Johor bagi membina ban baharu mengelakkan banjir pada masa depan.

“Keperluannya adalah segera. Peruntukan sebanyak RM5 juta telah saya luluskan untuk membina ban baharu. JPS juga diminta supaya menyediakan pelan jangka panjang untuk mengelakkan banjir di daerah ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR