
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim.
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim berpendapat tiada mana-mana pihak, termasuk istana atau parti politik, yang boleh memonopoli perkara berkaitan Islam.
Menurutnya semua pihak perlu menerima bahawa wujudnya sistem feudal di Malaysia, tapi pada masa sama institusi diraja tidak boleh dibenarkan ‘mengawal semuanya’.
Sehubungan itu, beliau mempertahankan tindakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang terus mengadakan ceramah rutinnya di Masjid Rusila di Marang.
Hassan berpandangan adalah demokratik untuk orang Islam mendengar ajaran Islam yang disampaikan di luar kalangan imam atau penceramah rasmi.
“Sekurang-kurangnya ada orang yang berani mencabar,” katanya dalam forum politik anjuran Gerak Budaya dan dikendalikan pengarahnya Chong Tong Sin, menurut Mkini.
Hassan berkata ini dengan syarat pihak yang memberi kuliah itu tidak menggunakan masjid untuk propaganda politiknya.
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata tiada salahnya untuk ahli politik menyampaikan kuliah di masjid atau surau dan malah menegaskan mereka mempunyai kewajipan untuk bersuara dalam pelbagai perkara termasuk politik.
Larangan terhadap semua ahli politik, termasuk ahli parlimen, Adun dan senator, daripada menyampaikan kuliah atau khutbah di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu berkuat kuasa pada 2 Mac lalu.
Larangan itu dikeluarkan selepas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.
Menurut semakan di data.gov.my, setakat 4 Mac lalu, Hadi tidak berdaftar sebagai penceramah bertauliah di Terengganu.