[KEMAS KINI] Kabinet baharu diumum esok, kata PMO

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembentukan Kabinet baharu pada jam 11 pagi esok, kata Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.

Ini dibuat selepas beliau menghadap dan mempersembahkan senarai Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.

Pada awalnya, spekulasi mengatakan Ismail Sabri mungkin akan mengumumkan senarai penuh pentadbirannya selepas menyembah maklum senarai nama yang menganggotai Kabinet beliau.

Terdahulu media melaporkan PMO memberitahu tiada pengumuman pelantikan Kabinet akan diumumkan hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama 90 minit.

Ia adalah sesi menghadap kali kedua bagi Ismail Sabri sejak mengangkat sumpah di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

“Sesi menghadap yang pertama berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai perdana menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu,” kata Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Pelbagai spekulasi timbul sama ada Ismail Sabri akan mengekalkan sebahagian besar menteri-menteri di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, tumpuan kini dihalakan berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dua jawatan penting dalam sesebuah pentadbiran.

BERITA BERKAIT
POPULAR