
Data 11 September 2021.
Jumlah individu dewasa di Lembah Klang yang melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 masing-masing kini melebihi 100 peratus, menurut data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Data itu menunjukkan sehingga semalam hampir tujuh juta atau 113.5 peratus populasi dewasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19, manakala lebih 6.2 juta atau 100.6 peratus penerima melengkapkan dos kedua.
Menurut JKJAV jumlah itu melebihi 100 peratus kerana statistik kependudukan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia tidak mengambil kira perubahan populasi sejak banci terakhir, penduduk tanpa dokumen serta vaksinasi yang diberikan kepada mereka.
Sejak Februari hingga semalam, lebih 38.2 juta individu dewasa di seluruh negara menerima dos vaksin Covid-19, membabitkan 21.29 juta atau 90.9 peratus penerima dos pertama dan 17.0 juta atau 72.7 peratus individu melengkapkan dos kedua.
Menurut data itu sehingga semalam, hanya lima negeri – Pahang, Perak, Kedah, Kelantan, dan Sabah – masih mencatat jumlah individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing di bawah nilai ambang 60 peratus.
Semua negeri itu merekodkan antara 49.4 peratus dan 57.6 peratus populasi dewasa yang melengkapkan dos kedua.
Sementara itu, semalam sahaja sebanyak 258,929 dos vaksin diberikan, membabitkan 88,960 penerima dos pertama dan 169,969 individu lagi melengkapkan suntikan masing-masing. Ini termasuk penerima vaksin dos tunggal.
Mengikut catatan JKJAV, tidak ada penerima suntikan vaksin Covid-19 sama ada dos pertama atau kedua di Putrajaya, sementara Johor merekodkan jumlah pemberian tertinggi vaksin membabitkan 42,681 penerima.