Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan menafikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan operasi di pejabat kementerian itu seperti dilaporkan oleh sebuah portal tempatan.
Saravanan berkata ini kerana beliau tidak mendapat sebarang maklumat berhubung operasi itu, lapor Bernama.
“Tanya dia (portal) lebih arif dan tahu… tidak ada operasi di KSM (Kementerian Sumber Manusia) tetapi dia (portal) tahu sampai boleh kata 40 orang kena tangkap,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bersama Kementerian Dalam Negeri dan KSM mengenai pengurusan pekerja asing di Bukit Aman hari ini.
Portal itu dalam laporannya hari ini mendakwa SPRM menahan kira-kira 40 orang bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan penyelewengan Program Insentif Pengambilan Pekerjaan (PenjanaKerjaya).
SPRM telah menahan reman 37 individu setakat 15 Julai termasuk pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera dari 64 syarikat sendirian berhad berhubung penyelewengan itu.
Ditanya sama ada penahanan itu melibatkan anggota MIC, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata beliau tidak ada maklumat mengenai perkara tersebut.