
Pencarum KWSP, Norazlan berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen.
Norazlan Ismail, seorang pemandu teksi yang tular kisahnya dalam media sosial dalam berjuang menuntut pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Norazlan yang baharu tiba di Kuala Lumpur hari ini selepas berjalan kaki selama beberapa hari dari Johor bagaimanapun tidak dapat berjumpa dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan, namun berpeluang bertemu dengan mantan Perdana Menteri Kelapan di lobi Parlimen tengahari tadi.
Terdahulu, Norazlan selesai menyerahkan memorandum yang dibawanya dari Johor di Istana Negara bagi menuntut pengeluaran KWSP secara bersasar.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga bersama delegasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Azmie Bugis – AB; Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Memorandum tuntutan itu diterima oleh Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara, Datuk Muzli Mohd Zin.
Dalam pada itu di Dewan Rakyat pagi tadi, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pagi ini bertindak keluar daripada sidang Dewan Rakyat kerana membantah tindakan Speaker Parlimen menolak usul tergempar bagi membincangkan pengeluaran KWSP bersasar.
Tindakan itu diambil sejurus Ahli Parlimen PN Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan menerima surat daripada Speaker Parlimen, Datuk Johari Abdul yang menolak usul berkenaan dibincangkan.
Beberapa ahli Parlimen PN, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; dan ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, turut bangun mendesak usul berkenaan dibincangkan.